Proses pernikahan adalah satu proses yang tidak akan berlaku melainkan melalui kerjasama dua pihak. Pihak lelaki dan pihak perempuan. Kalau pihak lelaki sahaja yang berusaha tetapi yang perempuan tidak menyambut, tidak akan ada hasil. Begitu jugalah sebaliknya.
Di atas kedua-dua usaha tersebut pula, ada satu naungan hakikat yang dinamakan sebagai TAKDIR. Di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda :
” Ketahuilah, sekiranya seluruh manusia berkumpul untuk memberi satu manfaat kepada kamu, mereka sama sekali tidak akan mampu memberikan walau satu manfaat pun melainkan apa yang telah DITULIS oleh Allah ke atas kamu.
Dan sekiranya mereka berkumpul untuk memberikan satu mudharat kepada kamu, mereka juga sama sekali tidak akan mampu menimpakan apa-apa mudharat ke atas kamu melainkan apa yang telah ditulis oleh Allah ke atas kamu.
Telah diangkat pen dan telah keringlah dakwat “
Ok, daripada hadis ini, mari kita berbicara tentang Perigi Cari Timba.
HAKIKAT KETETAPAN
Bila kita renung-renung hadis di atas, terasa di hati kita akan hakikat ketetapan Allah. Semua perkara sudah ditetapkan oleh Allah samada yang telah kita lalu, sedang dilalui dan bakal dilalui pada masa akan datang. Termasuklah tentang jodoh.
Jodoh kita dengan siapa, bagaimana orangnya, bagaimana kita bertemu, bagaimana proses sehingga bernikah dan segalanya telah sedia ada dalam catatan Allah. Tunggu masa sahaja untuk terlaksana.
Sebenarnya, mengimani hakikat itu sudah cukup untuk kita berlapang dada dengan Allah. Maksud saya, merasa tenang dan bahagia dalam gerak kerja kita dalam apa sahaja yang kita lakukan. Tiba masa mahukan pasangan hidup, maka kita berusaha. Kita usaha mencari, kita usaha merisik, kita usaha melamar, kita usaha mengambil secara halal dan kita usaha mengekalkan kehidupan berumahtangga. Usaha dan usaha, dalam keadaan hati kita tidak pernah hilang yakin bahawa segalanya telah ada dalam percaturan Allah.
Buruk atau baik, kena dengan adat atau tidak kena dengan adat, susah atau senang, dikeji atau dipuji, disokong atau ditentang, tidak kira apa sekalipun, selagimana hati kita dengan satu TEKAD bahawa ini adalah tugas aku untuk USAHA dan aku akan tetap usaha selagimana tidak melanggar batasan Syarak, maka kita tidak akan sesekali resah.

SATU USAHA
Wanita merisik atau melamar lelaki, itu satu usaha. Wanita memulakan langkah terlebih dahulu – dengan matlamat sebuah pernikahan – itu termasuk dalam kategori usaha. Tidak ada salah silapnya di pandangan Allah, melainkan sedikit janggal di pandangan manusia.
Dan sebenarnya, ia tambah menjanggalkan apabila ‘tidak kena cara’.
Tetapi pokok pangkalnya, perlakuan tersebut sebenarnya dinaungi oleh catatan takdir. Boleh jadi berjaya, boleh jadi tidak. Lelaki melamar wanita, bukan semuanya berjaya. Begitu jugalah. Wanita melamar lelaki, boleh jadi berjaya dan boleh jadi tidak. Keduanya ada risiko.
Namun perbincangan tentang Perigi Cari Timba mungkin jarang berpaksikan soal ‘takdir’ atau ‘kejayaan’ sebaliknya lebih kepada soal teknikal. Contohnya, soal maruah dan air muka wanita. Soal ‘jelek’ di mata manusia. Soal lelaki yang tidak boleh ‘menerima’ dan soal-soal yang lain.
Saya melihat, jika itulah soalnya, maka topik Perigi Cari Timba harus kembali dibincangkan dalam konteks yang betul dan penjernihan cara pandang mesti dibuat, demi mengembalikan semua manusia kepada hakikat takdir yang dinyatakan di atas.

MENGAPA BERLAKU?
Banyak sebab berlaku situasi Perigi Cari Timba, antaranya :
1- Sudah lama berkawan namun si lelaki agak ‘slow’ walaupun beribu kali diberi hint, seperti ditulis dalam artikel ini.
2- Wanita yang telah lama membujang serta belum dilamar.
3- Wanita yang tidak terdesak dari segi umur, tetapi terdesak dari sudut lain, termasuk desakan keluarga, ada masalah tertentu dan sebagainya.
4- Wanita yang sudah memang berkenan sangat dengan seseorang lelaki dan tidak dapat mengawal perasaannya.
Namun yang paling kerap berlaku adalah kerana wanita tersebut belum dilamar, dalam keadaan usia meningkat dan sangat perlu kepada perkahwinan. Mengapa belum dilamar, itu cerita lain. Faktor rupa paras, kedudukan, keturunan , darjat dan sebagainya adalah antara sebabnya.

RISIKO
Di permulaan artikel ini, saya menyentuh tentang takdir sebagai mukaddimah cerita. Saya mahu mengembalikan kita semua kepada hakikat HAMBA, di mana daya kita hanyalah usaha selagimana tidak bertentangan dengan agama. Saya juga mahu menampakkan bahawa Perigi Cari Timba bukan fenomena yang salah.
Cuma timbul soalan, mengapa ia menjadi ‘salah’, ‘janggal’, ‘jelek’ dan sebagainya di mata manusia? Jawabnya kerana ‘lain dari yang lain’, itu sahaja. Dan sebagai seorang wanita, bukanlah satu keputusan yang mudah untuk mereka menjadi Perigi Cari Timba.
Antara yang paling ditakuti adalah soal risiko. Dipandang serong, jatuh air muka, terasa hilang maruah dan macam-macam lagi.
Saya tidak mahu menafikan risiko tersebut kerana ianya memang ada. Cuma saya mahu menyatakan bahawa risiko itu timbul bukan kerana KONSEP Perigi Cari Timba tetapi ia timbul kerana ‘salah tempat’ , ‘salah cara’ dan ‘salah orang’. Boleh faham?
Cuba lihat beberapa keadaan :
Perigi Cari Timba itu tidak ada salahnya. Tetapi Timba itu yang kadangkala bermasalah. Apabila dicari oleh Perigi, dia menyangka :
1- Dia adalah Timba paling mahal.
2- Perigi yang datang kepadanya adalah Perigi murah.
3- Perigi murah tidak akan memberi manfaat yang besar dan lama.
4- Banyak lagi Perigi yang perlu dia cari.
Pada ketika itu, Timba tersebut tidak sedar bahawa dia dan Perigi sama-sama memerlukan. Timba tanpa Perigi tidak ada faedah, begitu jugalah Perigi tanpa Timba. Hakikatnya, kedua-duanya saling memerlukan demi satu tujuan yang sama.
Tetapi sebenarnya, itu jenis Timba yang tidak bagus.
Timba yang bagus semestinya tidak akan berfikir seperti itu, sebaliknya dia akan menyedari bahawa dia dan Perigi sama-sama perlu. Soal method dan cara, itu perkara kecil. Yang penting adalah tujuan serta matlamat yang hendak dibawa.
Bukan tiada situasi di mana Perigi bertemu Timba yang bagus. Apabila dicari oleh Perigi, dia merasa syukur kerana beranggapan ‘kekurangannya’ telah awal-awal lagi dilengkapi oleh Perigi. Lebih jauh daripada itu, Timba akan menghargai apa yang telah dan ‘sanggup’ dilakukan oleh Perigi semata-mata mahukan dirinya. Timba juga akan memandang inisiatif Perigi sebagai satu gambaran KEIKHLASAN dan akan mengingati perkara tersebut sampai bila-bila. Bukan mudah Perigi mahu ‘berangkat’ mencari Timba demi matlamat yang suci lagi murni dan bukan calang-calang Perigi yang mampu melakukannya.
Apapun, itulah jenis Timba yang bagus. Tetapi kita tahu, bukan mudah menemui Timba seumpama itu di zaman ini meskipun ianya wujud.

METHOD DAN CARA
Apabila saya mengatakan Perigi Cari Timba itu tidak salah dan mengatakan bahawa ciri-ciri Timba yang elok adalah seperti di atas, itu tidaklah bermakna Perigi boleh sembrono sahaja dalam mencari, tanpa menitikberatkan soal ‘method’ dan ‘cara’ sehingga akhirnya memudharatkan diri mereka sendiri.
Ini penting, kerana silap cara dan silap haribulan, Perigi itu akan dicop sebagai Perigi Murahan. Na’uzubillah Min Zaalik.
Ada beberapa cara yang boleh digunakan, bergantung kepada keadaan.
PERTAMA : Awasi soal himmah diri.
Maksudnya, soal ketinggian diri dan maruah anda sebagai wanita. Islam datang dengan mengangkat martabat wanita, dan bilamana Saidatina Khadijah R.A melamar Nabi Muhammad s.a.w , itu bukanlah bermakna beliau ‘mengurangkan’ atau ‘merendahkan’ martabat dirinya sebagai wanita. Tetapi kata kunci kenapa beliau kekal tinggi adalah kerana ‘tepat cara dan tindakan’.
Justeru, dalam usaha menjaga himmah diri, janganlah proses ‘memulakan’ itu dilakukan dengan ‘tak tahu malu’ atau tergedik-gedik atau sengaja ‘menjadi murah’ di mata lelaki. Percayalah, tindakan ini akan ‘makan diri’ dan langsung tidak berfaedah untuk anda. Apa yang perlu dibuat adalah kekalkan martabat dan SIFAT MALU anda di tahap yang sepatutnya.
KEDUA : Merisik dan kumpul maklumat.
Ini tidak kurang pentingnya. Kalau nak berperang sekalipun, unit risikan adalah antara unit terpenting. Sebanyak mana maklumat yang kita dapat menentukan sebijak mana kita bertindak. Maka anda kenalah merisik dan mengumpul maklumat terlebih dahulu sebelum bertindak. Lelaki tersebut sebenarnya orang yang bagaimana. Sifatnya, pendiriannya, pantang larangnya, ‘wajah sebenarnya’, prinsip keluarganya dan lain-lain. Semua ini penting untuk anda tahu supaya tindakan anda nanti bertepatan dengan ‘jenis’ orang yang dituju.
Bayangkan, kalau si lelaki atau keluarganya sebenarnya kategori yang cukup pantang dengan wanita yang ‘memulakan’ bahkan menganggap wanita seperti itu ‘sangat terdesak’, tiba-tiba anda dengan seronoknya ‘masuk’ melamar lelaki tersebut. Sungguh mengharukan. Begitu juga kalau anda tidak merisik dan sekadar ‘bajet-bajet’ dari luar. Anda sangkakan lelaki tersebut hanya ‘layan’ anda seorang dan bukan jenis yang ‘kawan dengan perempuan’. Rupa-rupanya, selain anda ada empat orang lagi yang ‘diberi layanan’ serupa. Tak ke haru jadinya?
KETIGA : Guna orang tengah.
Untuk pengetahuan anda, ini adalah tunjang kepada method Perigi Cari Timba. Dengan cara ini, banyak maslahat dapat dijaga bahkan cara ini dipraktikkan oleh Saidatina Khadijah R.A. Hakikatnya, cara nombor dua yang saya sebut di atas mustahil dapat terlaksana dengan tepat, efektif dan berkesan tanpa bantuan orang tengah. Atau anda membayangkan untuk menjadi seorang Agen FBI? Pakai cermin mata hitam, pakai suit hitam kemudian memanjat bangunan tinggi serta memerhatikan gerak geri lelaki tersebut dengan teropong? Oh sungguh mengarut.
Jadi mintalah bantuan orang yang dipercayai. Terangkan letak duduk perkara kepada orang tengah tersebut. Sebaiknya, carilah yang benar-benar dipercayai, jujur dan ikhlas mahu menolong.
KEEMPAT : Memberi hint cara bijak.
Ini agak panjang untuk dihurai. Realitinya, dalam fatrah ‘bertarung untuk masa depan’ ini kadang-kadang orang jarang mahu mengikut ‘skema’. Contohnya, mula dengan merisik dan merisik pula gunakan orang tengah. Kadang-kadang ini dilihat sebagai ‘susah lagi menyusahkan’. Lebih baik, buat sendiri.
Lebih-lebih lagi kalau ‘target’ adalah orang yang selalu dihubungi. Buat apa nak libatkan orang tengah? Jadi pandai-pandai sendiri. Pada saya, kalau ‘pandai-pandai’ itu betul-betul pandai tidak mengapa, tetapi kalau jadi ‘bodoh dan membodohkan diri sendiri’ itu yang menyedihkan.
Dalam saat-saat ‘bertarung untuk masa depan’ ini, antara tindakan yang sering dibuat adalah memberi hint kepada si lelaki. Mungkin secara langsung, mungkin secara tidak langsung. Mungkin dengan bahasa berkias, mungkin dengan gurauan, mungkin dengan ‘mengacah’ dan mungkin juga dengan ‘main tarik tali’.
Pada saya, dalam bab memberi hint ini, anda perlu melihat kepada jenis orang. Kalau kena dengan jenis orang dan kena dengan hint yang diberi, kadang-kadang ia boleh ‘membuka jalan’ yang lebih luas kepada anda.
Contoh :
Anda berbalas mesej dengan dia. Sudah tentu atas nama ‘kawan’ atau ‘kawan baik’ atau ‘kawan rapat’ dan sebagainya ( soal boleh atau tidak, itu sudah saya sentuh dalam artikel ini ). Kemudian masuk bab masa depan, tentang kahwin tentunya. Lalu anda cakap : “Saya rasa sekarang saya sudah cukup bersedia. Saya rasa sudah tidak sabar untuk menunaikan sunnah yang satu ini. Salah satu impian saya adalah untuk meramaikan zuriat yang menjadi pejuang di jalan Allah. Saya sebenarnya bukanlah seorang yang cerewet dalam memilih..”
Lelaki tersebut kiranya kena dengan orangnya, dia boleh faham. Dia tahu, kiranya dia yang ‘masuk’ harapan cerah untuk diterima. Katakan, dia membalas :
” Kalau saya yang masuk? Tapi mustahil kan. Awak orang hebat. Saya ni siapalah kan. Mana pandang orang macam saya..huhu “. Contoh respon.
Maka anda boleh menjawab bijak :
” Saya bukanlah seorang wanita yang mahu bersuamikan manusia sehebat Yusuf a.s. Salah satu benda yang parents saya selalu pesan adalah, terima kelemahan orang barulah kamu dapat terima dia seadanya. Pada saya, siapa pun yang datang, asal baik dia dengan Allah dan jujur dia dengan saya, saya akan terima dengan terbuka..”
Jawab begitu sudah cukup. Lelaki yang baik, dengan mudah dia akan faham ‘keterbukaan’ anda. Terang lagi bersuluh. Tinggal dia saja mahu bertindak atau tidak. Tetapi lelaki yang tidak baik, tidak ikhlas, main-main dan mengada-ngada, dia akan pura-pura tidak faham dan respon balasnya itu hanya mahukan ‘pujian’ dan ‘perhatian’. Jadi JANGAN LAYAN.
Contoh lain adalah anda memberi hint dengan cara yang kurang bijak kepada orang yang silap.
Contoh :
Anda mahu dia tahu yang anda menyukai dan amat berharap dia adalah orangnya untuk anda. Tetapi ketika berhubung, anda tidak sanggup menyatakan secara jelas. Lalu anda berkias.
” Saya bersyukur, sekarang Allah nampakkan orang yang benar untuk saya. Orang itu, meskipun dia tidak nyatakan secara jelas hasratnya kepada saya, namun saya yakin Allah akan beri kekuatan kepadanya untuk berkata..dan saya akan tetap menunggu..”
Si lelaki yang ‘ditarget’ kebingungan dan bertanya : ” Siapa orangnya?”
” Adalah. Rahsia.. ”
Jawapan anda membuatkan lelaki tersebut beranggapan ; Oh, dia sudah berpunya. Mungkin bukan aku jodoh untuknya.
Lihat, banyak keadaan boleh berlaku dalam masalah hint ini. Asasnya, hint adalah pernyataan yang tidak jelas dan berselindung. Boleh jadi ada faedah dan boleh jadi hanya timbulkan masalah. Jadi nasihat saya, gunakan langkah nombor dua dan nombor tiga yang saya sebutkan di atas, itu lebih baik.

KESIMPULAN
Konsep Perigi Cari Timba sebenarnya tidak ada salahnya. Cuma ia menjadi salah apabila dilakukan dengan mengenepikan soal adab dan akhlak, lebih-lebih lagi oleh seorang wanita. Sebaliknya jika dilakukan dengan penuh himmah dan maruah yang tinggi, apa sekalipun natijahnya pasti akan diterima dengan rela hati dan tetap mengekalkan ‘ketinggian’ diri.
Sebab itu di awalnya saya bercerita tentang TAKDIR. Jangan resah hati, jangan sedih dan jangan kecewa. Jika usahamu itu berteraskan Iman, bertunjangkan tawakkal, maka keputusannya tidak sesekali akan menjadikanmu rendah, lemah mahupun kalah. Bahkan setiap titik peluhmu demi matlamat yang suci lagi bersih akan dinilai oleh Allah, dan tidak mustahil di ‘convert’ kan oleh Allah sebagai KEBAHAGIAAN apabila sudah bernikah nanti.
Buat akhirnya, renungi kata-kata saya. Kalau si dia sudah Allah tentukan sebagai anda yang punya, maka tidak kiralah apa sekalipun cara yang diguna, lambat laun pasti akan bersatu jua. Perigi Cari Timba pun , ok apa?

Sekian.